♡assalamualaikum

currently updating First.

Friday, May 11, 2012

Yusuf dan Mardiana

Yusuf menekan perlahan pintu putih yang memaparkan nama "Pn. Mardiana". Bau ubat-ubatan menusuk hidung lagi. Seperti semalam, semalam lagi, dan semalam lagi. Lagi dan lagi.

Yusuf duduk di kerusi bersebelahan katil pesakit. Dia memandang wanita itu yang masih tidak bergerak seperti semalam, semalam lagi, dan semalam lagi.

Wanita itu, isterinya. Wanita itu, orang yang dia cinta separuh mati. Gembira Mardiana, gembiralah dia. Sedih Mardiana, sedihlah dia. Dan sakit Mardiana, sakit lagi dirinya.

Yusuf duduk menopang dagu dengan kedua-dua tangannya. Dia jatuh pandang wanita yang terbaring di hadapannya dari ubun rambut, helaian rambut hitam lurus, dahi, hidung yang diserkup alat pernafasan, dan jatuh ke bibirnya yang pucat lesi.

"Bangunlah Addi." Yusuf merayu lagi. Matanya berkaca walaupun dia dah tak mahu menangis. Dia penat juga menangis dan berharap setiap hari. Tapi tengoklah sekarang, dia masih ke sini. Tak pernah terlepas walau sehari.

"Uhuk"

Yusuf panik. Dia terus menyeret kerusi ke belakang dan memegang kepala Mardiana.

Mardiana berkelip mata beberapa kali dan menarik alat pernafasan yang menutup hidung dan mulutnya dengan tangan sendiri.

Yusuf bertambah panik. "Doktor!"

"hurm.." Mardiana bersuara.

Yusuf mengukir senyum. Dia dah sedar! Matanya berkedip sekali dan terus jatuh setitik air mata lelakinya.

Mardiana melihat ke kiri dan kanan. Kemudian dia memandang wajah di atasnya dengan muka keliru. "Abang Firdaus mana?"

*****

"Saya tak faham, doktor." Yusuf menyebak rambutnya yang berjuntai di dahi.

Doktor separuh abad itu menanggalkan cermin mata dan meletakkannya di atas meja. "Mengikut rekod kesihatan Puan Mardiana, dia pernah kemalangan semasa berusia 19 tahun."

Yusuf menelan air liur. "Saya tak tahu tu. Masa tu, saya tak jumpa dia lagi."

"Mengikut apa yang saya nampak sekarang ni, Puan Mardiana mungkin menghadapi trauma kerana kemalangan ini sama dengan apa yang pernah dia alami dulu.."

"Tapi saya tak kenal siapa Firdaus?"

"Nanti dulu Encik Yusuf. Puan Mardiana sekarang mungkin telah kembali kepada kehidupannya ketika 19 tahun. Dia bangun daripada koma dan merasakan dia bangun semula daripada kemalangan 9 tahun lepas. Bukan ketika dia berusia 28 tahun, berkerjaya dan bersuami."

Yusuf menggenggam tangannya kuat. "Maksudnya sekarang?"

"Dia rasa dia masih berumur 19 tahun, masih seorang pelajar dan melalui kehidupan di universiti. Encik masih tak wujud daripada lingkungan hidupnya. Encik Yusuf kena tabah, ini bukan penyakit atau virus. Puan Mardiana masih boleh pulih sedia kala. Encik Yusuf kena bantu dia."

"Macam mana saya nak cari Firdaus?"

Doktor itu melemparkan senyum. "Itu saya tak boleh bantu, Encik Yusuf."

*****

Mardiana duduk di katil dengan kakinya berjuntai ke bawah. Dia pandang ke dinding, tiada jam. Dia resah. Sekarang dah pukul berapa ni? Hari macam dah petang sangat. Kesian Abang Firdaus.

Pintu bilik terkuak dan Yusuf muncul dengan kunci kereta di tangan. "Dah tukar baju dah? Kita boleh balik sekarang. Abang dah letak barang dalam kereta dah. Jom?"

Mardiana memeluk tubuh dengan muka masam. "Sekarang pukul berapa? Kenapa awak lambat sangat? Awak kata awak penjaga saya tapi kenapa awak tak boleh faham yang kita sekarang ni dah lambat! Kelas Abang Firdaus mesti dah lama habis! Mesti dia dah lama tunggu saya dekat depan perpustakaan! Awak ni tak boleh haraplah!"

Yusuf kaku di situ. Setiap kali nama 'Abang Firdaus' keluar dari mulut Mardiana, dia memang tak tahu nak jawab apa. Dia cemburu, dia risau, dia takut.

"Ha berdiri lagi dekat situ! Cepatlah tolong saya jalan. Kalau saya larat jalan sendiri saya dah jalan awak tau tak? Ish saya tak tahulah macam mana mama dengan ayah boleh ambil awak berkerja jadi penjaga saya." Mardiana membentak lagi.

"Addi taknak pakai tudung dulu?" Yusuf mendekati isterinya dan memimpin dia turun dari katil.

"Sejak bila saya pakai tudung?" Mardiana menjawab dengan kerutan di dahi. Gila apa mamat ni. Tudung pun tak pernah ada  nak pakai macam mana? Tudung mama adalah!

Yusuf senyum. Sabar Yusuf, sabar. "Ok lah, Abang tanya je. Jom." Tangannya memeluk kuat pinggang Mardiana yang terhenjut-henjut itu. Selain kakinya, luka lain semua sudah sembuh.

"Awak jangan nak ambil kesempatan peluk saya kuat-kuat eh? Abang Firdaus tahu nanti teruk awak kena belasah." Mardiana memberi kesempatan.

"Okay. Tapi kat sini Firdaus tak ada kan? Dia tak nampak kan?"

Mardiana menaikkan jari telunjuknya. "Awak ni memang jenis suka mengorat awek orang belakang boyfriend dia eh? Awak jangan ingat muka handsome macam ni saya nak terpikat tau?"

Yusuf tergelak. "Abang handsome? Terima kasih. Untunglahhh siapa dapat Abang."

Mardiana mencebik. Gila punya orang. "Jangan nak 'abang-abang' dengan sayalah!"

*****

"Kita pergi UM kan?" Mardiana memandang pemandangan di luar tingkap Mazda 3 itu. Kenapa lain?

"Ya.. tu, dah nampak pintu gerbang dah." Yusuf melepasi pondok keselamatan dan matanya meliar. "Err.. saya tak belajar kat sini, perpustakaan dia dekat mana?"

"Depan lagi." Mardiana menjawab. Dia masih keliru. Kenapa dah berubah? Kenapa semua lain daripada ingatannya?

"Okay.. dah sampai kot?" Yusuf menarik brek tangan. Betullah ni.

Mardiana memandang pintu masuk itu lama. Kenapa? Kenapa dia tak ada? Dia gelisah. Abang Firdaus marah ke dia lewat? Abang Firdaus dah taknak tunggu dia ke? Dia rasa nak menangis.

"Hey.. Addi.. Kenapa ni? Kenapa ni?" Yusuf memegang wajah Mardiana dengan kedua-dua tangannya.

Addi melepaskan tangis di situ juga. "Abang Firdaus dah tak ada. Dia dah pergi. Dia dah balik. Dia dah taknak tunggu Addi. Dia marah Addi. Dia selalu tunggu sini, tapi sekarang dia dah tak ada."

"Shush... Addi.. Addi.. jangan menangis.. Dia ada.. dia ada.. dia ada hal tu. Nanti esok kita datang lagi, ya? Addi sakit, kena balik rumah. Ya? Kita balik dulu ya? Esok kita tengok lagi." Yusuf mengesat airmata perempuan bertubuh kecil di hadapannya. Jangan, Jangan sedih lagi Addi.

Addi menangis tersedu-sedu dihadapan Yusuf. "Dia mesti marah Addi, kan? Kan! Kan! Addi duduk hospital lama sangat kan? Dia dah taknak tunggu Addi. Dia bosan dengan Addi!"

Ya Allah siapalah Firdaus yang istimewa sangat ni! "Addi! Dia tak marah Addi, okay? Kita balik dulu. Esok petang lepas dia habis kelas kita datang sini lagi tunggu dia. Okay? Abang janji."

"Janji?" Matanya masih berkaca.

"Janji." Yusuf mengesat lagi airmata Mardiana dan membetulkan rambutnya yang basa terkena airmata. "Kita balik?"

Mardiana berhenti tersedu dan mengangguk perlahan. Esok mesti datang lagi!

*****

Mardiana menapak perlahan-lahan ke dalam rumah itu. Rumah itu, cantik padanya. Tapi asing. "Rumah ni cantik."

"Mestilah, tengoklah orang yang hias." Yusuf membalas dengan senyum.

"Siapa?"

"Addi lah. Abang memang takkanlah nak buat kerja menghias-hias ni."

Mardiana keliru. "Ini rumah siapa?"

"Rumah Addi."

"Sejak bila? Ayah.. ayah ada beli rumah baru masa Addi dekat hospital?"

Muka Yusuf tegang. Ini memang rumit. Ayah mertuanya dah tak ada. Dan ini adalah rumah mereka berdua sejak 2 tahun lalu. Mana satu yang dia patut terangkan dahulu? "Addi lapar?"

Mardiana menggeleng perlahan. Dia tak lapar. Tapi dia rasa asing dengan semua benda di sekelilingnya. "Addi nak tidurlah. Addi nak hari esok datang cepat. Addi tak sabar nak jumpa Abang Firdaus."

Firdaus lagi. 'Abang Firdaus' itu lagi. Buangkan rasa sakit hati tu Yusuf, Mardiana tengah sakit tu.

"Awak? Awak janji kan?" Mardiana pandang mukanya dengan penuh harap.

"Hah?"

"Awak tak dengar ke saya cakap tadi? Esok kita pergi pagi-pagilah sebab Addi takut Abang Firdaus tak tunggu Addi lagi. Awak dah janji kan pergi esok?"

Yusuf rasa perit di hatinya. "Ya, janji."

"Addi tak tahu bilik kat mana. Bawak Addi sekarang."

Yusuf terdiam. Mardiana yang berumur 19 tahun macamni rupanya, suka memerintah. Tapi sekarang dia tak macamni. Dia  20 kali ganda matang daripada ini.

"Awak dengar tak? Asyik berangan je tak dengar orang cakap apa."

"Jom."

*****

Ini baru betul-betul punya masalah. Dekat mana dia nak tidur kalau dah Mardiana tidur di katil bilik utama tu?

Dia bukan nak menipu sangat, tapi doktor kata perlahan-lahan. Dedahkan dia dengan kebenaran perlahan-lahan. Cakap dengan dia sikit-sikit supaya dia tak terkejut. Ini trauma, bukan hilang ingatan. Mardiana ada memori semua itu, cuma dia berada dalam keadaan penafian. Dia mahu apa yang di hadapan matanya sama dengan apa yang dia fikirkan. Di fikirannya dia adalah seorang pelajar universiti biasa yang bercinta dengan seorang lelaki keparat apa jadah bernama Firdaus.

Ya si 'Abang Firdaus' yang kadang-kadang nak buat dia muntah dan kadang-kadang nak buat dia menangis itu.

"Awak berdiri dekat situ kenapa?" Mardiana menegurnya perlahan.

Yusuf tersedar yang dia masih berdiri di hujung katil Mardiana. Salah, katil mereka. "Abang kan jaga Addi. Tidurlah."

"Awak jangan tidur sini pulak."

"Tak. Nanti Abang tidur dekat kerusi tu." Dia menunjuk kerusi berlengan di hadapan meja tulis.

"Kenapa nak tidur situ?" Mardiana menarik selimut rapat ke dagunya. Sejuknya air-cond.

"Abang kan nak jaga Addi." Yusuf bergerak perlahan dan duduk di kerusi tadi. "Abang jaga Addi dari sini." Dia menatap wajah Mardiana yang keliru dari tadi.

"Addi tak mengantuk pulak. Addi excited kot, macam dah lama tak jumpa Abang Firdaus. Awak kenal Firdaus tak?"

Yusuf menggeleng.

"Biar Addi cerita." Dia menarik sengih lebar. Dia mengiring mengadap Yusuf yang setia memandangnya. "Dia tinggi. Taklah handsome sangat tapi manis."

Yusuf memeluk tubuh. Lelaki manis padiaa?? Aku handsome, win.

"Hurm.. sebenarnya ada ramai perempuan yang suka dia, tapi dia suka Addi je."

Em yelah. Yusuf mengangguk.

"Abang Firdaus sweet sangat. Dia sayang sangat dekat Addi. Addi rasa, dia lelaki terbaik yang Addi pernah jumpa."

Ya right. Yusuf angguk lagi. Masalahnya Mardiana cakap ayat yang sama padanya semasa hari pernikahan. Aku ialah orang terakhir yang dia cakap macamtu, so dua kali win.

"Addi.. Addi tak tahu nak buat apa kalau Abang Firdaus tak ada. Addi sayang dia, sangat. Sangat sayang. Sebab tu, Addi sedih sangat tadi dia tak tunggu Addi." Suaranya bergetar.

Mendengar orang yang dicintai memuja lelaki lain di hadapan mata bukan perkara yang seronok, apatah lagi berkata pasal cinta dan sayang. Kalau tak memikirkan Mardiana sedang sakit, mau dia jadi gila.

"Sayang Addi dekat Abang Firdaus, bukan main-main. Semua kawan Addi pun cakap Addi ni serius sangat."

Berhentilah becakap, sayang. Yusuf meraup mukanya.

"Addi rasa sayang sangat dekat..."

Yusuf mengangkat punggung dari kerusi. "Abang tidur luar. Nak apa-apa, panggil Abang."

*****

"Awak.." Mardiana mengejut Yusuf perlahan.

"Ya sayang?" mamai.

Addi menarik sedu. Air matanya menitik ke dahi Yusuf yang sedang baring di sofa ruang tamu.

"Addi kenapa? Addi ok? Macam mana Addi turun tangga? Sakit kaki?" Yusuf terus menyentuh kaki kanan Mardiana yang luka teruk.

"Tak. Addi tak sakit. Addi rindu Abang Firdaus." Dia mengesat air mata dengan lengan baju. Betul dia rindu, tak tipu.

Yusuf mengeluh perlahan. Dia berdiri dan memegang bahu Mardiana. "Jangan macamni. Jangan menangis."

Sedu Addi makin kuat. Air matanya mengalir laju bagaikan air sungai. "Boleh tak tolong cari nombor telefon dia? Addi taktau kenapa, Addi tak ingat nombor dia. Addi tak ingat nombor telefon Abang Firdaus. Tolong Addi.." Dia mengongoi lagi.

Bagaimana lagi dia nak terangkan? Dia tak kenal Firdaus! "Addi jangan macamni, Abang lagi sedih tengok Addi macamni. Addi tidur, please?"

"Tolonglah... tolonglah Addi... Awak kata awak nak jaga Addi.. Awak kena tolong jugak.. Addi rindu sangat.. rasa macam dah bertahun tak jumpa.. tolonglah awak.. please? Please..."

Yusuf mengesat air mata jernih di pipi Mardiana. Dia kalah dengan perkara yang satu ini, rayuan Addi berserta air mata. Tak pernah dalam hidupnya dia tak menunaikan apa yang Mardiana mahu. Tak pernah dia menolak apabila Mardiana berkata 'please'. "Abang tak tahu Addi.. Abang betul-betul tak tahu nombor Firdaus.. kalau Abang tahu, Abang dah tolong.. please jangan macamni Addi. Sekarang pukul 4 pagi, Addi kena tidur. Please sayang?"

"Tapi awak kena tolong Addi jugak! Awak boleh tanyakan dekat Mus, Farid, Najwa. Diorang kawan Addi, kawan Abang Firdaus, tapi nombor diorang pun Addi tak ingat! Awak tolonglah carikan.."

"Okay. Okay. Abang tolong. Tapi Addi kena tidur. Ok? Lagipun waktu sekarang ni sorang pun takkan jawab telefon kan? Esok pagi ya?"

"Ok." Addi menyelitkan rambutnya yang kusut di belakang telinga. "Janji?"

"Abang try."

"Janjilah!"

Yusuf memegang belakang kepala Mardiana dan menariknya rapat ke dada. "Abang cari, Abang cari."

"Okay." Tangis Addi mula surut. "Susah Addi nak turun tangga tadi. Tidurlah dekat bilik atas. Dekat atas kan banyak bilik. Nanti kalau awak dah jumpa nombor tu takdelah Addi susah-susah nak cari awak dekat bawah."

"Okay." Yusuf melepaskan pegangannya. "Jom kita naik atas."

Yusuf rasa nak menangis. Tapi apabila difikirkan semula, baiklah dia solat tahajud daripada dia memikirkan kesedihannya.

Mintak pada Allah, janganlah ditarik kasih sayang Mardiana padanya.
Mintak pada Allah, tinggikanlah kesabarannya.

*****

Yusuf menarik selimut yang menyelimuti Mardiana. Terpisat-pisat Mardiana di atas katil.

"Assalamualaikum. Selamat pagi. Morning sunshine. Get up from your bed, princess." Yusuf menghadiahkan senyum lebar. Dia mengharapkan Mardiana bangun pagi ini dengan lebih sihat dan merasakan dirinya berusia 28 tahun dan bersuami.

"Dah pagi? Kita kena pergi UM!" Kelam kabut Mardiana bangun daripada baringnya.

Hampa.

Itu sahaja yang Yusuf rasa.

"Ouch!" Mardiana rasa pedih di betis kanan apabila kakinya dihentak kuat pada lantai.

"Nak pergi mana cepat sangat ni?"

"Nak mandi. Nak cepat-cepat siap. Nak cepat-cepat jumpa Abang Firdaus."

Firdaus lagi. Rasa nak maki.

Yusuf memimpin isterinya ke bilik air. Sementara menunggu Mardiana mandi, dia membuka almari dan memilihkan baju untuk isterinya. Blouse chiffon putih yang Mardiana pernah pakai semasa pertama kali mereka dating. Seluar jean biru lusuh kegemaran Mardiana, dia suka pakai kerana Yusuf pernah memuji dia nampak lagi kurus, padahal memang tak pernah gemuk pun. Kasut baji hitam yang dia pernah hadiahkan semasa hari jadi Mardiana tahun lepas, menipis juga debit card kalau beli kasut perempuan. Dan akhir sekali tudung kain kapas bercorak bunga jingga, warna kegemaran Yusuf.

Ya dia sengaja. Sengaja memilih pakaian yang berkaitan dengan dirinya.

Mardiana keluar dari bilik air dengan tuala membaluti tubuh. Dia nampak Yusuf menyusun setiap pakaiannya di atas katil. "Awak keluar. Nanti dah siap saya panggil."

*****

Mardiana duduk menongkat dagu di meja makan. Dia memandang belakang badan Yusuf yang sedang menyediakan sarapan untuknya. Dahlah suruh orang pakai tudung, sekarang paksa orang makan sarapan pulak.

"Abang memang tak ada bakat memasak, bahan-bahan dekat dapur ni pun Abang tak tahu apa benda. Tapi Abang tahu Addi suka Cornflakes dengan susu kan?" Yusuf mengambil kotak Cornflakes sebelah tangan dan membuka peti ais untuk mengambil susu.

"Boleh tak awak sediakan telur separuh masak?" Mardiana meminta."Taknak Cornflakes."

Yusuf mengerut dahi. "Tapi Addi tak makan telur separuh masak?"

"Memanglah tekak Addi tak boleh terima tapi Addi kena belajar makan sebab tu favourite Abang Firdaus. Boleh tak? Sekejap je. Please?"

Yusuf kaku. Dia tak akan buat. Walau macam manapun, dia tak akan buatkan. "Addi makan Cornflakes."

"Addi taknak! tak faham ke!"

Yusuf berpeluk tubuh. "Kalau Addi taknak makan, kita takkan keluar harini." Dia bertegas.

Mata Mardiana berair. "Mana nombor telefon Abang Firdaus? Biar dia yang jemput Addi."

"Addi, makan."

Air mata Addi jatuh lagi. "Addi taknak Cornflakes. Addi rindu Abang Firdaus, Addi nak telur separuh masak."

Akhirnya Yusuf kalah. Dia berpusing daripada meja makan itu menghadap singki. Dia mengambil periuk dan diletakkan di bawah paip. Dia memusing pili dan air paip mula memenuhi periuk. Termasuk beberapa titis air matanya.

*****

Mardiana bagaikan tak percaya. Dia melihat pintu masuk perpustakaan itu. Ada beberapa orang lelaki, tapi semua bukan Abang Firdaus. Tak mungkin. Dia dah tunggu dari pagi. Sepatutnya waktu sekarang Abang Firdaus dah menunggunya. Kalenjar air matanya mula berfungsi.

Yusuf serba salah. Antara memberitahu kebenaran atau menjaga hati isterinya. "Addi, kita balik? Esok kita datang lagi?"

Addi menggeleng. "Abang Firdaus tak mungkin balik terus daripada kelas. Dia mesti tunggu Addi. Dia tunggu Addi setiap hari."

"Tapi harini mungkin dia tak.."

"Jangan tipu Addi! Addi tahu, mesti ada sesuatu. Abang Firdaus sayang Addi, dia takkan biarkan Addi sakit macamni."

"Yalah tapi.."

Pipi Mardiana dah dibanjiri air mata. "Addi nak tunggu sini sampai malam!"

"Addi, jangan. Kita balik dulu."

"Taknak! Awak nak balik, awak balik sorang!"

"Addi, Firdaus dah tak ada!" Yusuf menggenggam bahu Addi kuat. Dia kena betulkan semua sebelum dia sendiri jadi gila. "Abang tak tidur semalam cari nombor Firdaus. Abang buka Facebook Addi cari semula kawan-kawan UM Addi." Yusuf menggenggam tangan Mardiana erat. "Firdaus dah tak ada. Dia dah meninggal masa kemalangan dengan Addi."

"Hurm?" Mardiana rasa kosong. Air matanya mengalir tapi dia tak rasa apa. Kenapa? "Apa dia?"

"Abang suami Addi. Addi dah 28 tahun. Addi dah membesar sebagai orang yang matang, berjaya, solehah, perempuan paling baik sekali. Addi tak boleh patah balik dalam hidup Addi. Ini kesan luka kemalangan kedua, bukan kemalangan pertama Addi masa umur 19 tahun. Addi, come back! Abang tahu Addi sedar tapi Addi taknak Firdaus mati kan? Semua orang taknak orang yang disayangi mati Addi tapi sekarang Addi ada Abang."

"Addi.. tak faham."

"You have me, okay? I am so in love with you. Addi tak perlu patah balik untuk cari Firdaus, because you have me. Abang tak kenal Firdaus but i know i'm better than him. Why? Because at the end Abang yang dapat Addi. Tuhan bagi Addi pada Abang."

Mardiana rasa fikiranya berputar. Dia tak dapat nak memproses satu apa pun di otaknya. Yang terhasil hanyalah air mata.

*****

Balik daripada Universiti Malaya petang itu, Addi memang tak buat apa-apa selain menangis. Menangis tanpa henti di dalam bilik, tak makan, tak keluar, tak bergerak dari katil. Dan akhirnya menangis sampai tertidur.

Yusuf termenung sendiri. Dia tak tahu apa yang dia dah buat betul atau tidak. Dia bukan orang yang sangat penyabar dan tabah, tapi dia dah cuba. Apa yang dia tau, Mardiana perlu balik pada dia. Kenapa nak menangisi orang yang dah tak ada sedangkan orang yang menyayangi bagaikan nyawa sendiri ada di depan mata?

Yusuf dah tak mahu mengharap lagi untuk hari esok. Kalau Mardiana masih bernyawa pun dia sudah cukup bersyukur.

*****

"Abang!" Mardiana duduk tegak di kepala katil. "Abang! Abang kat mana!"

Yusuf yang sedang menggosok gigi cepat-cepat berkumur. "Ya?"

"Abang bangun tak kejut Addi pun? Macam mana Abang boleh bangun awal? Lepastu kenapa Addi tidur sorang-sorang? Bantal Abang takde pun dekat sebelah Addi? Abang dah tak sayang Addi ya? Addi dah gemuk kan? Addi tau Addi dah gemuk Abang taknak tidur sebelah Addi kan!"

Yusuf menggosok matanya berkali-kali.

"Kenapa Abang ni? Orang cakap dia senyap pulak! Taknak cakap 'selamat pagi' dekat Addi dah? Oh dah 2 tahun kahwin dah macam ni eh? Sehidup semati konon!"

Yusuf mendekati Mardiana dan duduk di birai katil. Matanya berkaca. Macam tak percaya.

"Apa ni drama pagi-pagi. Menangis pulak. Office ada call Addi tak? Addi rasa macam dah lama tak pergi kerja. Macam tak percaya je that chinese guy, client Addi tu, tak call langsung. And you Mr. Yusuf, are you that busy sebab Addi rasa dah lama tak jumpa Abang. Kenapa ya?"

Yusuf mengukir senyum. Syukur.








**ok aku taktau trauma sebegini wujud atau tidak, kalau tak wujud anggaplah aku tipu semata.



 
Blog Template by Delicious Design Studio