♡assalamualaikum

currently updating First.

Tuesday, November 17, 2009

Anaz dan Fifi

Afifah berjalan mengelilingi rak lauk-pauk itu. ni dah 3 kali pusing dah ni. tetap taktau nak ambik lauk apa. Bukanlah dia ni cerewet sangat, tapi semua dia minat! Tak muat pinggan cik kak.

Shahnaz yang berbaju pagoda putih digerai air sebelah tengok je perempuan yang tak ambik-ambik lauk dari tadi. Nasi putih separuh masih elok terletak diatas pinggan plastic itu. dia nak tawaf rak tu 7 kali gamaknya.

“Anaz! Teh ais satu! Minum.” Satu teriakan terdengar dari kaunter bayaran.

“orait!!” matanya terus meninggalkan perempuan berbaju kurung ungu itu. Dilap-lap tangan pada kain basah. Pantas jari itu memasukkan pati teh pekat didalam cawan. Air panas dituang. Tin susu pekat diketuk-ketuk diatas meja sebelum menterbalikkannya dengan sebelah tangan. Tangan kiri mencapai pula sudu kecil. Dilambung ke langit sekali, ditangkap pantas dan terus dikacau kedalam bancuhan teh.

Afifah merungut kecil bila laluannya disekat. Pakcik ni dah tau badan tu besar, tengah-tengah ramai orang ni, janganla berhenti lama-lama. Matanya melilau kiri-kanan. Akhirnya dia terhenti pada tukang buat air di gerai sebelah. Kedua-dua tangannya cekap bergerak. Melihat sudu yang dilambung itu. whoa. Stylo~

“dik, tumpang lalu dik.”

Afifah tersedar bila seorang makcik dibelakangnya menegur. Tu lah kau. Usha sampai sekat jalan orang lain. Dia senyum-senyum aje bila makcik tu melintasinya.

Afifah akhirnya mencedok kuah masak lemak cili api ke nasinya. Baru kuah. Lauk tak dapat lagi.
Shahnaz tak dapat nak tahan geli hatinya. Dia tergelak perlahan. Aku dah siap buat berapa gelas air dah, si perempuan baju ungu tu masih dekat situ. Yang berubah hanya nasinya yang dah jadi warna kuning.

“Mal, cover aku kejap.” Shahnaz meninggalkan gerai air itu. dia bergerak ke kedai nasi campur disebelah.

Kamal disebelah hanya mengangguk. Masa mula-mula waktu lunch tadi memang la sibuk ngalahkan Perdana Menteri. Sekarang dah ok, tapi tetap kencang jugak.

Afifah meletakkan jarinya didagu. Memikir-mikir. Ayam ke, udang?

“cik kak, lauk dekat sini sikit sangat ke?”

Afifah pantas memandang kesebelah. Lelaki berbaju pagoda putih dan apron dilipat separuh warna biru. Teapot teko punya apron. Dahinya berkerut. “ye?” blur.

“dekat sejam pilih lauk. Lauk kat sini sikit sangat ke?” Shahnaz mengulang. Jarinya ditunjukkan pada tray-tray lauk yang nak dekat 30 buah itu.

Afifah senyum. “taklah. Banyak sangat sampai taktau nak ambik apa.”

Shahnaz senyum meleret. She’s nice.

Tangan Afifah mencapai senduk udang sambal petai. Dicedok udang dan petai itu kedalam pinggannya. Selepas itu dia bergerak ke rak sayur. Pucuk paku goreng ditambah kedalam pinggan. Dengan senyum tak lekang, dia terus ke kaunter bayaran.

“berapa kak?”

Shahnaz dibelakang menggeleng-geleng pada akak kaunter.

“errr.. takpayah la dik.”

“huh?” Afifah tenung semula pinggan ditangan. Free? Takkanlah~. “takkan percuma kot, kak. Cakap la betul-betul, berapa ringgit?”

“orang belakang awak kata takpayah bayar.” Akak kaunter senyum-senyum.

Afifah toleh kebelakang. Mamat buat air ni lagi.

“saya belanja la harini.” Senyum.

“kenapa pulak?”

“saja. Awak baru kerja dekat area sini kan? Tak pernah nampak pun.”

Afifah angguk.

“kitorang dekat sini memang macam tu. kalau ada pelanggan baru, mesti kitorang belanja.”

“yeke?”

“iye.”

“ok lah macam tu. akak, terima kasih eh. Nanti saya makan sini lagi.” Dia senyum manis pada akak kaunter.

“ehhh.. kejap. Nak air apa?”

“sirap limau ais. Boleh?”

“beres!!” Shahnaz senyum lebar.

Afifah duduk dimeja bersama kawan-kawannya.

“Anaz, sejak bila kau pandai belanja orang?” akak kaunter nasi campur mengusik.

“entah Anaz. ‘kitorang’ eh? sejak bila ‘kita’ ada polisi belanja pelanggan baru?” suara Kamal dari tempat buat air pula kedengaran.

“sejak harini. Ah. banyak soal pulak kau. Dah-dah. Buat kerja.” Shahnaz meningalkan soalan mereka begitu sahaja. Dia bergerak ketempat air. Apronnya dibetulkan. Sirap limau ais. Dia mengulang. Sirap limau ais paling special dia buat dalam hayatnya. Sebab sirap limau ais dia tak pernah senyum-senyum sampai limau diperah pun nampak macam perempuan tu sengih dekat dia.

******

Afifah terkial-kial nak membuka pintu keretanya. Tangan kiri pegang buku tender 4 inci tebal, kalah buku harry potter. Tangan kanan pegang 2 fail, sekali dengan beg laptop.

Di menjulurkan jari-jarinya. Kot-kot la boleh capai handle pintu kereta tu. haih. Dia mengetap bibir.

Pak!!

Afifah mendongak. Dia kerut dahi.

Shahnaz senyum. “silakan…”

Afifah pun turut sengih. macam mana dia boleh ada dekat sini? Tempat letak kereta depan pejabatnya? “errr…” soalan dah rangka dalam kepala, tapi tak terkeluar pulak dah.

“tak berat ke tu?” Shahnaz tunjuk pada barang berkilo-kilo yang dibawa Afifah.

“err.. berat..berat..” cepat-cepat dia letakkan semua barang di tempat duduk belakang.

“saya Anaz.”

“Fifi.” Afifah mengangguk.

Senyap.

Afifah dah bermain dengan kunci kereta ditangan. Apa nak cakap lagi ni?

“apa..”
“apa..”

Hahaha. Mereka tergelak. Entah macam mana boleh serentak pulak bersuara.

“awak cakap dulu.” Shahnaz senyum lagi.

“apa awak buat dekat sini?”

“ada hal.” Pendek jawapan Shahnaz.

“owww..”

“kerja sini?” Shanaz tunjuk pejabat swasta dihadapannya.

“aah. Baru je.”

Shahnaz bermain kunci kereta didalam poket slacknya. Baru Afifah sedar, harini dia tak sarung apron biru Teapot Teko.

“ermm..” Afifah mengumam.

“hmm?”

“heh. Takde apa. Taktau nak cakap apa dah.”

“erm. terima kasih?”

Oh! Afifah menyentuh dahinya. Lupa pulak ada orang tolong bukakkan pintu kereta tadi. “sorry..sorry.. terima kasih banyak!”

“benda kecik.” Shahnaz senyum. “ok la. Assalamualaikum.”

“waalaikumsalam.”

Afifah keras-kaku sekejap bila Shahnaz bunyikan alarm keretanya. Teet! Teet! Loh! Kereta sebelah dia aje ke?

Afifah tersedar kembali bila Shahnaz mengangkat tangan padanya semasa mengundur kereta.
Hmm. He’s nice.

*******

“Fifi, kau taknak turun lunch?” Azida mengajak.

“tak sempat la. Lepas ni aku ada meeting dekat luar. Aku tak prepare apa-apa lagi nih.” Afifah menjawab sambil tangannya kalut mencari dokumen dalam susunan fail.

“la kau ni. kenapa tak prepare awal-awal? Karang lapar macam mana?”

“aku full la pagi tadi. Ni payah nak cari. Aku taktau pekerja dulu tu dia letak dokumen dekat mana.” Afifah memegang atas kepalanya. Haih. Kusut!

“takpelah macam tu. nak tapau?”

“takpelah. Thanks. Aku takut tak sempat nak makan.”

“ok. tapi make sure kau makan tau. Nanti pengsan masa nak drive.”

“yelah tu. kau tu jalan baik-baik. Bye.”

“bye.” Azida terhenti sebentar. “ehh kejap. Kalau mamat air stylo tu tanya kau, aku nak jawab apa?”

Afifah mengecilkan matanya pada Azida. “kau suka usik aku kan?”

“haha.janganlah marah. Dia suka kau la Fi…”

“pergi turunlah cepat! Kau melambatkan kerja aku la.”

“haha. Ok.ok. bubye.” Azida melangkah ke pintu lif dengan gelak yang masih bersisa.

Afifah melihat fail yang berterabur sambil tersengih-sengih. Ada-ada jela Azida ni. Mamat air stylo konon. Tak pasal-pasal nama dalam surat beranak kena ubah. Tapi memang stylo pun. Dengarnya budak-budak sekolah area sini pun suka tengok dia buat air. Haih. Budak-budak.
Afifah senyum lagi. Teringat lelaki berapron Teapot Teko itu. ish! Buat kerja la Afifah! Berangan pulak dia.

Dia berkemas ala kadar. Biarlah nampak rupa pejabat sikit tempat ni. kalau tak tadi macam tempat recycle kertas! Selesai semua, dia mengangkut apa yang perlu dan terus keluar dari pejabat.

Afifah terhenti sekejap dipintu kereta. ehh??? Apa benda yang terselit dekat pengelap cermin kereta tu?

Sila ambil barang anda dikaunter receptionist. =)

Terus dia mencapai handphone didalam handbag.

“Anis, ada pesanan untuk saya ke?”

“aah. Ada barang untuk Cik Afifah.”

Dia melipat kembali handphone itu kebawah. Kena patah balik office. Ada-ada jelah!

Satu polisterin putih dan sebotol air mineral elok terletak dalam satu paperbag. Ada note lagi.

Sila makan. Nanti traffic light pun nampak macam aiskrim. =p

Afifah tergelak. Azida!!!!!! Kau ni memang la~

Dia kembali kekereta dengan sengih tak lekang. Dalam polisterin tu ada fishball dengan chicken ball goreng yang dicucuk-cucuk dengan lidi. Macam tau-tau je sekarang ni jalan jam, so boleh la nak ngap dalam kereta. I owe you la Azida~

Shahnaz senyum meleret. Walaupun dia perhati dari jauh, tapi dia nampak senyuman tu.
She’s nice.

******

Shahnaz pandang perempuan yang duduk sorang-sorang itu. lekas dia mengelap tangan pada kain basah.

“Assalamualaikum.” Perlahan Shahnaz memberi salam.

“waalaikumsalam.” Afifah menjawab sambil menekup mulut. Tengah kunyah nasi kot.

“saya teman, boleh?” Shahnaz dah nak tarik kerusi palastik didepannya.

“sure.” Angguk.

“suka makan sini?”

Angguk. “suka. Lauk sedap.”

“oh,suka lauk kampung?”

“suka. Suka sangat.”

“oh… asal kampung ke?”

Afifah menelengkan kepalanya kekiri dan kanan. “tak jugak.”

“ow yeah? Cool la tu.”

“apa-apa pun, saya makan je.”

“oh! sama la kita. Saya memang suka makan. Round satu Malaysia sebab nak carik makan pun sanggup je.”

“iye? Saya pun macam tu. pernah makan ikan bakar dekat Pasar Keramat? Sedap sangat.”
Shahnaz dah teruja. “aah. Memang superb! Kuah asam dia tak macam yang lain. Pekat, lepastu pedas-pedas sikit kan?”

“pedas banyak kot. Sebab dia warna oren merah-merah tu! tapi ada gerai nasi lemak depan dia tu,lagi sedap.”

“oww.. sambal dia ok. tapi nasi lemak antarabangsa? Hooo~ tak boleh tahan..”

“aah. Kampung Baru eh? tapi ada satu nasi lemak antarabangsa dekat Ampang, depan Ampang Puteri. Selalu singgah situ je.”

“alang-alang sampai Ampang, selalu orang carik western.”

“aah! Roadhouse Grill? Fuh. Terangkat. Cozy House pun dekat Ampang kan?”

“yep-yep. Suka dia punya ayam pandan?”

“suka!! Balut dengan daun, memang aura lain la.”

“pernah makan nasi ayam penyet?”

“JB?? Ow yeah~sambal dia sedap.”

“Jb punya tak real. Try Singapore punya. Fuh. Sambal dia memang tak boleh nak cicah. Cili hape dia pakai pun taktau la.”

“haha. Singapore eh? carik murtabak la kot selalu. Murtabak yang besaaaar tu.”

“betul-betul. Memang puas kalau makan.”

“kalau dekat Johor tu.. hmm, laksa johor kot best?”

“erm. Try pergi Pontian. Asam pedas dia lain macam.”

“kalau asam pedas baik pergi Melaka! Kuah pekat dengan ikan pari fresh, tak dapat nak bayang.”

“Melaka memang la. tapi tak jauh dari Melaka, Negeri Sembilan. Makan diorang punya masak lemak..”

“oh… jangan cakap, jangan cakap. Masak lemak cili api pure! Lepastu kalau sampai dekat port kedai masak minang, hurm. Memang rasa taknak bangun.” Afifah dah makin seronok berborak pasal makanan. Terbayang daging masak minang dengan cili goreng dia.

“tapi dalam banyak-banyak negeri, utara dengan pantai timur la paling menarik.”

“betul. Kalau berhenti dekat R&R Sungai Perak, tak sah kalau tak cedok ikan patin masak tempoyak.”

“kalau pergi kenduri dekat Perak, memang rasa tak malu nak makan bertambah. Gulai dia sedap.”

Hahaha. Afifah tergelak. Tak pernah lagi dia pergi kenduri makan bertambah. segan. “apela awak ni.”

“haha. Betul. Sana kenduri orang kampung masak ramai-ramai, bukan pakai cater macam kat sini.”

“macam dekat Penang jugak la kot.”

“oh! Penang! Pasemboq dengan nasi kandaq!”

“tu dia cheq. Dan-dan dia dok tukaq longhat.”

“huih. Habaq mai makanan Penang apa cheq tak pnah ghasa. Mee udang Kepala Bataih, pasemboq Padang Kota, laksa buyung, nasi kandaq sampai ka Sungai Petani nun cheq penah makan.”

Hahaha. “anak mami ka?”

“dok aih. Anak daddy.”

Hahaha. Selamba Shahnaz menjawab. Afifah dah terkeluar airmata sebab banyak gelak.

“saya suka lagi makanan pantai timur kot, walaupun makanan Kelantan tu banyak yang manis-manis.” Afifah bertukar lokasi makanan.

“kalau dekat Kelantan tu, makanan dia murah-murah. Kalau nasi kerabu tu, siap letak solok lada, ikan goreng tepung, daging bakar, baru je 3-4 ringgit.”

“aaaaaa~ nasi kerabu! Tambah sambal sikit, budu sikit… erm, lama tak makan.”

“haha. Takpe. Nanti saya carikkan. Dengan segala kuih-muih Kelantan pun saya boleh carik.”

“akok eh? kalau akok pandan tu sedap kan.. laksam..sira pisang..puteri mandi..”

“ow..dapat kencing manis nanti!”

“bukan makan hari-hari la…”

“baik makan keropok lekor.”

“tu dah sampai Terengganu tu… baik carik nasi dagang.”

“takpun sata… tau sata?”

“tau! Tau! Macam otak-tak… tapi segi tiga.. kan?”

“bukan segi tiga la.. bentuk kon.”

“alah.. sama la tu.. awak ni..” haha.

Panjang borak mereka pasal makanan. Dari Singapura yang dekat selatan, sampai la hujung semenanjung Malaysia. Tu tak jejak Pulau Borneo lagi tuh.

“Anaz, dah dekat habis waktu lunch. Terima kasih bawak saya jalan-jalan cari makan.”

“haha. Tarahal. Nanti kalau ada peluang, saya bawak awak travel betul-betul.”

Afifah cuma angguk. Ye sangat la tu.

******

Selesai Zohor, ramai pekerja masih melepak-lepak di tempat duduk masing-masing. Terdengar kecoh suara Azida.

“best la macam tu. boleh la makan omputih selalu.”

“makan omputih apanya Jida?” Afifah bertanya.

“aaa Fifi! Lot sebelah ofis kita ni nak bukak restoran barat. Owner dia, sama dengan owner gerai yang kau selalu singgah tu.”

Afifah ternganga. “gerai nasi lauk kampung tu? owner dia bukak restoran western? Sedap ke nanti?”

“entah. Tapi bisnes kencang la jugak nanti. Tak ada lagi orang jual western food sini.”

Aah. Betul jugak. Eh, Afifah teringat sesuatu. “ey Jida, haritu kau ada kasi bekal kat aku kan? Time aku tak sempat lunch haritu? Thanks eh…”

“hoh?? Lambat lagi aku nak kasi bekal kat kau Fi. Manede.”

“kau jangan main-main Jida… kau tinggal kat receptionist bawah kan?”

“serius tak!” Jida menjawab sungguh-sungguh. “pahal?”

Afifah telan air liur. Sedap-sedap dia ngap haritu, entah sapa yang bagi ntah. “aku makan.. aku ingat kau yang kasi..”

“kau tanya la budak Anis tu sapa yang kasi. Misteri woo~” Azida terus angkat telefon putih diatas meja. Disambungkan pada talian receptionist. Di pass gagang kepada Afifah.

“Anis, haritu yang tinggalkan barang kat kak Fifi haritu, siapa yang kasi eh?” Afifah bertanya hati-hati.

“oh yang tu. Lelaki, tinggi-tinggi. Nama dia tak kasitau.”

Fifi dan Jida tercengang. Zaman sekarang pun ada peminat misteri lagi ke?

***

“sah! Komfem! Gerenti!” Azida berkata yakin sambil menepuk meja.

“tak mungkin.. tak mungkin.. mana dia tau kereta aku? mana dia tau aku tak sempat lunch? Mana dia tau aku kena kerja luar?” Fifi berkata sambil berkerut kening.

“beeeeeeeeeeeetullll la dia Fi…dia nampak aku pergi lunch kau tak ikut, mestila dia tau kau tak lunch!”

“macam la hari-hari aku pergi makan situ je. mana la tau aku pergi makan tempat lain. Takkan sebab aku takde kat situ maknanya aku tak lunch langsung? Ish.. tak logic.. tak logic…”

Azida tersengih-sengih sambil mengangkat tangkai bunga baldu yang jadi bahan perhiasan mejanya. “hati kalau dah cinta, segalanya mungkin…”

“gelilah!”

***

Fifi datang kepejabat dengan langkah longlai. Tangan kanan menjinjit sekotak besar tisu. Aaaa…aaa…aaachummm!

“ish! Ish! Kuman terbang! Kuman terbang!” Azida mengipas-ngipas tangannya. Halau kuman la konon.

Fifi buat muka. Sekeh karang. Dah la tengah hangin tak dapat MC ni. ada ke doc tu boleh kata, “tak ada apa. Sikit aje ni.”

Dia taktau yang hidung ni dah naik merah dah kena tenyeh dengan tisu.

“demam ke kakak?” Azida bertanya dari mejanya.

“demam dah kebah. Tinggal flu je.”

Aizda menongkat kepalanya. “aku heran la…”

Fifi mengerutkan kening. “nak heran apanya.. normal la aku demam.. sekarang kan musim hujan.”

“bukan pasal tu la!” Azida dah berdiri sambil mebawa paper bag ke meja Fifi. “mamat apron Cap Teko kau tu macam ada pancaindera keenam tau.”

“huh? Apa tu?” tolongla jangan cakap perkataan pelik-pelik masa aku tengah sakit ni.

“ni.” Azida membawa keluar Tupperware dari dalam paper bag. “dia kasi chicken porridge.”

Walaaaaaaaaah~ Fifi membuka tutup Tupperware dan mengambil bau. Sedap ni, sedap. Tapi.. “aku tengah takde selera la. tekak tak rasa nak makan apa-apa.”

“gila bertuah kau, Fi. Dapat orang pandai masak, stylo buat air, pandai bisnes lagi.”

“kau ni confident ke ni, yang mamat tu yang hantar?”

Azida memegang dagunya. Ye tak ye eh. mamat tu tak pernah kasitau nama pun kat receptionist. “takpe. Nanti lunch apa kata kita tanya sendiri dekat mamat tu.”

Fifi menjungkitkan kening. “ha????? malu la aku kat Anaz tu!” biar bernas la sikit cadangan!
Azida terus tersentak bila dengar nama tu. “bila masa korang berkenalan ni?”

Fifi tarik sengih. “adala.”

***

“taknak! Taknak!” Fifi mendengus perlahan disebelah Azidah yang macam main tarik-tarik baju dekat dia.

“tanyala! Tanyala!”

“kau je la!” takkan la dia dengan pipi tersorong-sorong pergi tanya, ‘awak ke yang hantar makanan kat saya?’ gila!

“ok. ok. kau tunggu sini.” Azida berjalan menghampiri ke gerai air. “ehem!”

“ye kak? Air apa kak? Teh tarik ada, sirap manis ada, jus oren masam ada, kopi janda pun ada kak! Mana satu?”

Euw. Apa kes kopi janda? “err.. Anaz!”

Budak yang bertanya order tadi terus senyap. Anaz yang sedang mengacau air dalam gelas disebelahnya terus berhenti mengacau.

“ye?” sepatah Anaz bertanya.

“sini kejap.”

Fifi yang memerhati dari jauh dah rasa nak bukak langkah cabut. Azida ni la.. malu kat orang jek!

Anaz mengelap tangannya ke apron. Dia berjalan menghampiri Azida.

“ni nak tanya, awak ke yang selalu hantar makanan dekat Fifi?” straight takde konar-konar dah Aizda tanya.

“ha?” Anaz buat muka terkejut.

***

“eh Jida! Dia kata apa?” Fifi bertanya tak sabar.

“takde apa yang penting.” Muka selamba.

Eh? kenapa pulak ni? dah tanya banyak-banyak tadi, taknak cerita pulak. Fifi menarik muka masam.

“eh ni aku nak buat pengumuman penting ni. semua orang dah masuk office ke belum?”

Fifi pandang kiri kanan sebelum menjawab soalan Azida tadi. “Leong dengan Sofie takde lagi la.”

“ish!” Azida bercekak pinggang. “ni pergi lunch ke pergi buat lunch?”

“ha! tu diorang dah masuk dah.” Fifi menunjuk kea rah pintu.

Azida tarik sengih lebar. “ok! ok! assalamualaikum and hello everybody!”

Satu pejabat berpaling pada mereka berdua.

“restoran western food sebelah lot office kita ni akan buat grand opening dia hari ahad ni. jadi, kita semua dapat jemputan khas. So, siapa-siapa yang rasa free hari ahad malam ni, sila ambil pas percuma pada saya. Orait?”

“eh! makan free ke?” seorang menjerit.

“yes! yes! free of charge. Nak taknak?”

“nak!!!”

Sepantas kilat meja Azida kena serbu. Fifi dah pelik. Azida tak cerita kat aku pun? Takpelah.

***

Restoran makanan barat yang tersergam dengan papan tanda ‘WEST IN EAST’ itu dimasuki. Fifi tergamam dengan hiasan dalamannya. 100% perabot kayu. Dengan tali kapal yang ‘kalau-kena –ikat-komfem-sesak-nafas’ berlingkar disetiap tiang. Hurm.not bad.

Fifi dan Azida duduk disatu meja belakang. Suka-suka hati buat diri sendiri macam VIP, datang lambat. Terlepas peluang nak tau siapa owner yang murah hati nak belanja makan free kat diorang ramai-ramai.

Selepas 10 minit..

“eh, kau makan apa tu?” Fifi bertanya.

“aku punya, T-bone steak. Kau?”

Fifi sengih. “aku order sirloin steak. Peliklah, sepatutnya aku punya la sampai dulu dari kau.”

“kau punya special sangat kot?” Azida mengusik.

“banyaklah! Ish. Lapar ni. semua orang dah start makan.” Fifi merungut.

“lapar ye..”

Satu suara menyapa disebelahnya. Fifi angkat muka. Lampu oren suram menyebabkan dia hampir tak cam dengan orang itu. Takkan waiter smart gini.. agak-agak la. gaji banyak mana sampai mampu beli tux and skinny tie?

“ni makanan dah sampai… jangan lapar-lapar.” Anaz meletakkan satu pinggan besar dihadapan Fifi.

Mata Fifi rasa nak terkeluar dari soket. Ni saiz pinggan ni, anak gajah tengok pun mau terkejut. Disudut sebelah kiri pinggan itu, fries disusun cantik bertingkat. ‘terlebih rajin punya chef’. Fifi mengagak didalam hati. Disudut sebelah kanan, hirisan tomato, timun, salad, peas dan coleslaw terletak cantik. Daging steak yang dibakar terletak ditengah-tengah. Tak pernah lagi nampak saiz steak besar gabak gini. Ni betul untuk seorang makan ke ni?

Fifi dah mengangkat garpu dan pisau.

“eh..sekejap.” tangan Anaz memegang bekas berbentuk magic lamp Aladdin. Dia menuang barbeque sauce perlahan keatas daging steak. Tangannya lembut membentuk perkataan dengan sauce itu.

Fifi dah sedia nak memotong bila tangan Anaz berhenti dari menuang sauce.

“eh nanti…”

Perbuatan Fifi terhenti lagi. Sabar Fi, kot ye pun lapar. Sabar..sabar.

Anaz membuka napkin putih yang tersedia diatas meja. Ditarik sedikit kerusi Fifi kebelakang, dan dibentangkan napkin putih itu diatas peha. Kerusi itu disorong semula kedepan.

Azida memandang tak berkedip. Ni First class punya service. Tak hingat!

Fifi memandang muka Anaz, “sekarang dah boleh makan?”

Anaz senyum dan mengangguk. “baca doa.” Dan dia terus berlalu.

Fuh! Fifi tarik nafas lega. Pisau diangkat dan..

“kejap Fi!” Azida menahannya.

Ugh! “apa lagi?”

Azida memandang tepat pinggan kawannya. “aku rasa macam ada something la..”

Fifi meletakkan pisau dan garpu ke meja. Dia mendekatkan muka pada pinggan.

“kau nampak apa aku nampak?” Azida bertanya perlahan.

“aku rasa macam nampak apa kau nampak..” Fifi menjawab.

Dua sahabat itu saling berpandangan dan.. “ARGH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”

“ye cik?” seorang pelayan mendekati mereka.

“saya nak order yang lain. Sirloin steak satu?” Fifi berkata laju. Dia TAKKAN makan daging steak dengan ‘marry me’ sauce itu!

***

Kring….

“hello pengantin?”

“haha. Assalamualaikum Azida sahabatku!” Fifi menjawab telefon sambil sengih-sengih.

“waalaikumsalam. Hurm, sampai mana dah korang?”

“Kuantan. Tengah makan seafood tepi laut!” excited je Fifi menjawab sambil memandang Anaz dihadapan.

“lah.. sampai Kuantan dah. Ada berapa hari lagi korang punya honeymoon tour?”

“lagi dua minggu kot.lepasni gerak Terengganu. Jangan jeles.”

“ceh! Orang honeymoon pergi tempat romantic, korang pergi jalan-jalan cari makan. Buat apa aku nak jeles.”

Hahaha. Fifi gelak besar. Nak honeymoon tour macam ni? kahwin la dengan taukeh kedai makan macam Shahnaz. He’s nice. =)

Friday, November 13, 2009

ADVIDHAQ [8]

Dum. Bunyi pintu ditutup.

Nana yang tengah mengacau Nescafe panas didapur tersentak. “Ja? Hang ka tu?”

Senyap tak bersahut.

Nana menyimpan botol Nescafe dikabinet atas. “awat hang balik lewat sangat ni Jaja? Dah la aku telefon pun hang tak angkat! La ni dah pukui bapa? 9 malam hang tau dak?”

Jaja sekadar menggeleng kepala. Letih la nak dengar makcik ni membebel. Beg dibahu dan kunci bilik di lempar atas meja makan.

Nana keluar kedepan dengan memegang mug Nescafe berhati-hati ditangan. Puh..puh.. dia meniup air itu perlahan.

“untuk aku takde ke?” Jaja memandang Nana dengan mata penat.

Nana yang menunduk itu berkerut dahi. Ni kain apa yang meleret sapu lantai ni? aish. Kemain cantik kain putih jadi pengelap lantai.


Matanya bergerak keatas sikit. Tangan kiri orang didepannya memegang sepasang stiletto silver kerkilat.

Matanya naik keatas lagi. Belt berwarna emas yang telindung disebalik cardigan putih itu macam memantulkan silau kedalam matanya. Aduh! Sakit mata!

Nana menggogosok-gosok matanya berkali-kali. Matanya naik pula ke muka. Selendang putih elok terlilit dikepala.

Nana meletakkan kedua-dua tapak tangannya dimuka Jaja. Aish. Dia telengken kepala itu kekiri, kemudian kekanan. Biar benar?


Macam rajin je tangannya menanggalkan selendang putih itu. Rambut ikal perang gelap jatuh mengurai kebahu.

Nana menelan air liur.

“NANA!!!!!!!!!!!!!!!” suara Jaja dah naik key F sharp. Dia dah menjerit ada la kot seratus kali sejak mata Nana scan badan dia dari bawah ke atas.

Mata Nana masih tak berkedip.

“ni betui macam rambut Jaja..” Nana menyentuh rambut orang dihadapannya. Rambut Jaja memang perang gelap.

“pipi tembam ni pun..” Nana mencubit pipi Jaja.

“auw!!”

“ni pipi Jaja ni…” Nana menggeleng-geleng kepala.

Jaja menghembus nafas kasar. Memangla ni aku.

“cuba hang senyum sikit?”

Jaja menurut.

“haaa… betui la… tapi sejak bila mata hang jadi biru?”

Ish! “contact lens la!”

“owww…. Cantik hang Jaja… macam nak pi Anugerah Bintang Popular! Awat hang pakai lagu ni? Ada occassion apa?”

“kena make-over lah.” Jaja menarik kerusi untuk Nana duduk. Karang pengsang lak kawan dia ni. kemudian dia tarik kerusi meja makan itu untuk dirinya sekali.

“uih.. bertuah badan..” Nana tersengih-sengih. Dress putih itu dikirai-kirai keudara.

“cantik ke?”

“cantik gila!!”

“aku… cantik ke?”

“hang memang cantik!”

“pakai macam ni semua orang pun boleh jadi cantik.”

“sapa kata… kalau saghung kat beruang tak cantik aih!”

Ish! Ada nak kena piuh telinga ni! “buat lawak! Buat lawak!”

“hang pakai lagu ni haghi-haghi la Ja… aku suka.” Nana bagi candangan yang tak berapa bernas.

“aah. Banyak la kau. Kau tau dari hujung kaki kehujung kepala aku ni nilainya berapa ribu? Sengkek la kalau nak macam ni hari-hari! Kot ye pun nak cantik.. agak-agak la nak pakai dress pergi pejabat.”

Nana tergelak. “ala. Bukanlah. Hang make-up la cantik-cantik lagu ni pi office.. baju tu toksah la pakai dress. Pakai la blouse hat yang lawa-lawa sikit.. hang ni ada gaji tapi tak gheti guna!”

Jaja mencuri hirup Nescafe Nana sedikit. Dia menjuihkan bibir. “perlu ke jadi cantik?”

“jadi cantik tu dakla. Tapi pakai la kemaih-kemaih.”

“kemas macam mana?”

“pakai la compact powder sikit. Celak sikit. Lip balm sikit. Baju kotak-kotak hang tu hang kasi masuk dalam kotak, selotape dua-tiga lapis. Ok?”

Jaja tergelak. “tengoklah.” Dia mengambil bag packnya diatas meja. terus dibawa kebahu. “aku masuk bilik dulu.”

“nak berangan ka?” Nana mengusik.

“gila! Nak mandi lah!”

Hahaha. Nana tergelak sambil menggeleng kepala. “Jaja!! Kau cantik gila macam princess!!” dia menjerit kuat.

Dum! Kedengaran pintu bilik air ditutup. Nana tekup mulut. Bengang kena usik la tu. Nana tarik sengih lebar.

***

Jaja mengelap rambut basahnya sebelum menyidai towel kebelakang kerusi. Laptop dalam bag pack ditarik keluar dan diletak diatas katil.

Dia meniarap sementara tunggu laptop loading. Hurm… dan jarinya terus menari.

Aku tidak pandai menafsir luaran. Pada aku, luaran itu kosong tanpa jiwa. Hanya objek tontotan mata-mata asing yang berjiwa.

Jadi apa guna luaran itu?
Langsung tak bergunakah?

Oh, jangan melenting dengan membaling senduk didapur. Itu hanya persoalan untuk diri aku yang tidak pandai ini. Persoalan untuk aku fikirkan dalam-dalam.

Sebelum ini tak pernah terlintas untuk aku fikirkan kepentingan luaran. Aku berpendapat mereka yang mementingkan luaran itu taksub dengan diri sendiri. Melihat diri sendiri di cermin lebih dari 3 jam itu bukan taksub namanya? Hendak ditelek apa lagi sedangkan lubang hidung kau masih dua, dan telinga kau tak ada pulak terkurang satu.

Ya, aku mengaku aku mengejek kuat golongan ini. Membazir masa, satu. Dua, membazir wang. Tiga, menambah berat bahu kiri aku dengan kutukan-kutukan halus yang terbit dari hati.

Berilah alasan apa pun, aku akan sangkal dengan hujah-hujahku. Mahu cari jodoh konon katanya. Hey perempuan, bukankah elemen hati dan perasaan itu yang penting untuk kebahagiaan? Bukannya kau boleh beri jaminan pada sang arjuna itu yang pinggang kau masih 26 inci pada umur separuh abad.

Ada juga yang hebat memperkatakan : alah, aku bersiap hanya untuk kepuasan diri. Kata aku? kau boleh humban saja alasan itu. Mari sini kau, bawa pisau belit bersama, berdiri didepan aku. kerat jari aku kalau kau kata make-up yang seperti cat yang ditepek ke muka itu hanya untuk kau puas melihat diri sendiri dicermin, dan bukan untuk orang lain. Ada berani? Tidak? Jadi, senyap.

Jangan…jangan… jangan baling senduk itu lagi. Pegang dulu, kejapkan jari kamu. Aku belum selesai melontar kata.

Manusia itu dicipta Tuhan sebagai makhluk yang sempurna. Ada rohaninya, ada fizikalnya. Fizikal yang sangat indah.

Suka aku nak mengingatkan bahawa :

Kulit yang licin itu anugerah Tuhan
Senyuman yang manis itu ciptaan Tuhan
Setiap anggota badan yang banyak fungsi itu kurniaan Tuhan

Kesedaran ini membawa satu perubahan baru bagi aku. Kalau dulu aku tidak pernah ambil peduli apa pun corak pakaian aku, tapi sekarang aku berhati-hati. Dulu aku tak kisah kalau wajah aku pucat mengalahkan mayat kerana aku beranggapan aku cuma mengadap skrin komputer mati. Tapi sekarang aku rasa aku perlu menjaga wajah ini supaya nampak segar.

Kemas. Ya, ini perkataan baru yang aku tanamkan dalam-dalam. Aku perlu kelihatan kemas walaupun dihadapan skrin komputer. Kemas itu perlu bagi menggambarkan kita seorang pembersih, dan menjaga nikmat Allah. Kemas itu adalah kunci keyakinan diri untuk kita berhadapan dengan manusia. Kemas itu memudahkan kita bergaul, bertukar rasa dan pendapat.

Kemas, bukan menunjuk kecantikan.

Kemas, bukan sekadar pakai apa sahaja asal menutup tubuh.

Kemas, itu kemas.

Aku yang bebal ini sudah nampak kepentingan luaran. Maafkan kekasaran aku diawal kata. Manalah tau kau betul-betul melontar senduk kedinding tadi.

Jangan malu untuk berubah. Berhijrah untuk sesuatu yang baik itu bukankah bagus?

Tepuk dada, tanya hati.

Aku perlu tidur. Maklumlah, masa bersiap ke tempat kerja sekarang sudah bertambah dari 15 minit ke setengah jam. Hurm, mungkin. –AKSARA-

Wednesday, November 11, 2009

ADVIDHAQ [7]

Mira bengang. Mananya baju yang kata nak sampai tadi? Ni dah masuk petang dah ni.

Dia masih ralit mengadap mannequin didepannya. Koleksi musim luruh/sejuk dah memenuhi butik-butik. Untuk edisi kali ni, kenalah dia menggayakan baju winter pulak. Biasalah, koleksi pakaian butik antarabangsa mestilah ikut peredaran musim. Tapi akhir-akhir ni, butik tempatan pun nak ikut jugak buat koleksi ikut musim.

Yang ada disekelilingnya cuma mafla dengan but-but kulit dan berbulu. Haish. Takkan aku nak kasi pakai kat orang tutup leher dengan tutup kaki jek?

Mira berdiri dan keluar dari biliknya. Laju dia melangkah ke meja receptionist. “where’s my wardrobe?”

“erm. Tadi DKNY Jeans call, dia kata tak dapat nak hantar. Jadi, tadi Nita dah keluar pergi ambik dekat butik.”

Budak receptionist itu merujuk pada Anita, pembantu penata gaya untuk GAYA.

“oh. habistu? Yang lain? Miss Selfridge? Kate Spade?”

Receptionist itu cuma mengangkat bahu tanda tak tahu.

Mira memegang dahi. Macam mana ni.. dia dah berangan dah tadi. Dia tahu Kate Spade keluar dengan trench coat yang cantik gila untuk collection kali ni.

Dia merenung jam tangan Folli Follie di tangan kanan. Sempat lagi ni kalau nak pergi sendiri. Kalau tunggu esok, payahla. Bila lagi dia nak arrange.

“ok lah. Biar saya pergi ambik sendiri. Tolong call kan, cakap kat diorang saya on the way ke butik.”

“eh kejap Cik Mira!”

“ya?” Mira berpaling semula.

“Hermes dah agree. Dia kata boleh guna accecorries dia untuk winter collection ni. tapi bila boleh ambik tu, tak confirm la.”

“oh ya? Good.” Tak sempat-sempat Mira nak berlari ke biliknya. Nak ambil handbag dan terus pergi.

*****

Haq tenang memandu CRVnya. Pukul 5.30. Semua orang tengah berebut nak balik rumah. Dia pun tak sabar nak chow dari pejabat macam orang lain jugak.

Tengah dia memandu nak keluar dari satu lorong, tiba-tiba..

Pin!!!!!!!!!!!!!!!!

Bingit bunyi hon!

Haq dah menghentak stering. Apahal tahan jalan orang pulak kereta depan ni?

CRV silver dan mini cooper biru itu dua-dua pegun tak bergerak. Satu nak keluar dari lorong, satu nak masuk.

Mira mendengus nafas dalam keretanya. Nasib, sipi lagi nak accident. Kalau crash tadi, alamat penyek la kereta aku yang comel ni kena dengan kereta gedabak tu.

Haq masih menunggu dalam kereta. Menunggu kalau-kalau kereta cenonet depannya ni nak reverse. Tapi dah nak dekat 5 minit, tak bergerak jugak.

Mira dah tak tahan sabar. Kalau kereta gedabak ni tak undur, memang sampai malam la dia tak boleh nak bergerak kedepan! Cermin mata hitam diangkat keatas kepala. menyusahkan betul! Akhirnya handle pintu direntap.

Haq nampak sepasang kaki dengan kasut tumit tinggi keluar dari kereta biru cenonet itu. patut pun! Driver perempuan memang macam ni!

Tuk! Tuk!

Tanpa sedar, Mira mengetuk cermin kereta tinted milik Haq.

Haq menekan punat untuk menurunkan tingkap.

Perlahan..perlahan.. tingkap sebelahnya itu turun. Dan, perlahan..perlahan juga bau semerbak masuk kehidung.

Haq dah rasa lain macam.

“encik, boleh undur tak? Saya nak lalu tak boleh.” Mira berkata tegas sambil tangan kiri yang berjurai dengan bracelet itu mencekak pinggang.

“tapi saya dah lalu sini dulu.” Haq menjawab selamba. Fikirannya masih berputar-putar. Muka perempuan ni macam pernah nampak, dan bau tu macam familiar sangat!

Humph. Ni la dia driver lelaki. Tau nak bawak je. Papan tanda taknak baca.

“hello mister, ini jalan one way. Tak boleh keluar ikut lorong ni. sini jalan masuk je, bukan jalan keluar.”

Haq mengedipkan matanya. Ini bau…. Orange blossom and sandalwood! Dan suara perempuan ni.. sama nada macam dekat mapley haritu!

“hello? Encik?” Mira dah blur. Kenapa pulak pandang orang sambil kedip-kedip mata ni? ke dia ni non-malay? Tak faham bm ke? tapi tadi pandai je jawab dalam Bahasa Melayu.

“this in one-way road. Do you get it? Can you reverse your car, so that I can go back to my office? Now. Please.”

Haq tersenyum. Suara macam pengawas. “sure, miss.”

Sebenarnya macam malu jugak. Yelah, boleh tak sedar ni jalan one-way! Nama pun tempat baru kan, dia main redah jela. Mana nak tau. Haq masuk gear reverse. Perlahan-lahan kenderaannya diundur kebelakang.

Ketika kereta biru cenonet itu lalu disebelah keretanya, Haq tarik sengih lebar dekat pemandu perempuan tu. tapi malang, perempuan tu tak pandang langsung!

Takpelah ye Mira Khairudin, lain kali ada rezeki kita gaduh lagi ye?

Haq tergelak sorang-sorang dalam keretanya. Dia terus memandu kedepan. Dah tak ada kereta nak lalu kan? Redah jela one-way pun. Haha

****

Mira sampai di office awal pagi ni sebab dia ada berguni-guni kerja nak dibuat.

“Mira?” Puan Rai menegur dari pintu bilik yang terbuka.

“Puan Rai!” Mira sengih lebar.

“how was the make-over session?”

Make-over? Make-over mende ni? Mira tayang muka blur.

“hai, speechless ke? memang cantik sangat eh?” Rai berkata lagi sambil memeluk tubuh.

Oh!!! oh!!! oh tidak!!! Nehi never!!!! Mira rasa nak hentak dahi kedinding. Dia lupa!!!! Sudah… masak aku…

“I’ll surprise you with the full report tomorrow. Photo tak siap lagi.” Cover Mira, jangan tak cover.

“ow yeah? Full report tomorrow? Hurm. Okey then.” Rai senyum manis dan terus berlalu dari situ.

Mira meletakkan dahinya diatas meja. adoi~ gila hape aku nak hantar esok. Aku nak hantar gambar apa kat Puan Rai ha? gambar diri sendiri sempat la kot nak hantar. Tapi gambar orang yang nak di ubah tu…

Ah!!!! orangnya pun aku tak pilih lagi!!! E-mail tak bukak langsung!!! Mira terus mengangkat kepalanya dari atas meja. Mati aku, mati.

Mira berlari-lari keluar mencari Nita. Ha! tu dia!

“Nita! Make-over session!!”

“ha? session.. what?” Nita dah blur.

“make-over session. Yang kita janji nak buat ruangan baru tu!” tangan Mira menggoncang-goncang tubuh Nita.

Nita tersentak. “make-over session!”

Mira mengangguk.

“You tak buat lagi kan?”

Mira menggeleng. “please… how to get a volunteer TODAY?”

“today?”

“I dah janji kat Puan Rai nak report esok la..”

Ish. Nita menggeleng-geleng. Esok? Maknanya kena buat harini. “sponsor you dah dapat?”

“belum jugak!” Mira menggeleng. Dia memang lupa habis dengan ruangan baru yang dia cadangkan pada team GAYA bulan lepas. Ish..serabut!

“macam ni. macam ni. I carik photographer and carik sponsor. I try call butik mana-mana. Boleh punya dapat harini aku rasa. Salon… I try la contact salon member-member. Ok?” Nita memberi cadangan.

Mira tarik nafas lega. “ok! I try carik volunteer.” Mira tersenyap sekejap. “tapi nak carik kat mana?” dia memandang kiri-kanan.

“ey kakak, carik dekat floor ni memang takkan jumpa la orang yang sesuai nak di make-over. Try carik dekat tingkat bawah. Mesti ada punyalah. Gerenti.” Nita senyum-senyum.

“I pergi dulu!” Mira terus berlalu ke pintu lif. Nita pula dah pula mencapai telefon. Haish. macam ni la kerja last minute.

Mira masuk ke unit Jualan dan Promosi. Diintai sebentar, takde yang sesuai. Dia masuk pula ke unit Kreatif, matanya meliar kiri-kanan.

Buk! Terasa bahunya dilanggar dari kanan. Mira menoleh.

“sorry.” Perempuan itu meminta maaf.

Mata Mira merenung perempuan itu tak berkedip. Tudung hitam kosong, cermin mata bingkai hitam, muka pucat, kemeja kotak-kotak, jeans hitam, sneakers Converse.

Tangan Mira pantas mencapai tag pekerja yang tergantung dileher perempuan itu.

SYAZA- GRAPHIC DESIGNER

Jaja berkerut-kerut dahi melihat kelakuan perempuan didepannya. Apahal pulak ni? dah la tengok aku macam tak pernah tengok orang. Dari hujung kepala sampai hujung kaki dia telek. Ni cek tag orang macam guard pulak. Ish! Tak faham!

“you kerja sini?” Mira membuka mulut kali pertama.

Jaja angguk.

“I Mira. Stylist.”

Owww. Jaja mengangguk. Orang floor atas rupanya. Patut bergaya sakan.

“I nak mintak tolong.”

Erk? Jaja blur. Apa je yang nak ditolong pasal style?

“jadi volunteer untuk ruangan make-over? Please?”

Hah! Dada Jaja jadi sesak tiba-tiba.

“ta..ta…tapi saya.. kerja.. banyak kerja..” Jaja menghalakan ibu jarinya pada PC yang terpasang dibelakangnya.

“takpe. I boleh jumpa dengan ketua you. I minta pelepasan untuk harini. Ok?”

Harini???????????? Sudah!

“please Syaza…” Mira buat muka mengharap.

Jaja taktau kemana fikiran dia dah terbang. Make-over tu macam kena pakai benda pelik-pelik tu kan? Yang kena pakai make-up segala bagai tu kan? Kan? Aku tak salah kan? Tanpa sedar dia mengangguk kecil, mengiyakan telahan sendiri.

“ok! thank you so much! mana bilik ketua you?” Mira rasa nak melompat happy.

Eh!!!!!!!!!!!! aku ada angguk ke tadi? Jaja menggaru kepala yang tak gatal. Aku… kena di make-over?? Harini??

Ehhhh.. betul ke ni…

“come!” Mira dengan perasaan excited menarik tangan Jaja keluar dari pejabat.

“eh…. takkan la sekarang!!!” kata-katanya tak diendahkan. Cepat-cepat tangan kirinya mencapai bag pack ditepi meja. Ganas ni main tarik-tarik pula dia!!

Mati aku!!!!!!!!!!!! Weh…. Tolong!!!!!!!!!!! Aku taknak!!!!!!!!!!!!!!!!

Tuesday, November 3, 2009

kamu indah [20]

“Indah nak dengar satu cerita tak?” Nek Ngah tiba-tiba bertanya masa mereka berdua tengah sibuk menyediakan makan tengahari.

Indah senyum. Ni mesti cerita hikayat orang tua-tua lagi la ni. “apa dia Nek Ngah?” tangannya lancar mengupas ubi kentang.

Nek Ngah membawa bakul bawang ke atas meja. Dia tarik kerusi duduk berhadapan dengan Indah. “cerita pasal seorang cikgu dengan askar Melayu.”

Buntang mata Indah. Walah~ macam seronok je tajuk. “cerita la Nek Ngah.”

“alkisahnya, dulu ada seorang cikgu perempuan. Bukan cikgu sekolah tinggi pun, cikgu kampung je. Setakat tau membaca dan mengira. Waktu tu, dia muda lagi. Umurnya dalam lapan belas.”
Indah dengar penuh khusyuk.

“satu hari, ada satu trak askar masuk kampung. Cikgu ni pun takat tengok ajelah dari anjung rumah. Dia taktau kenapa ada trak askar masuk kampung tiba-tiba. Mungkin berehat dalam perjalanan nak beri bekalan untuk askar didalam hutan.” Nek Ngah meletakkan bawang merah yang dah dikupas kedalam piring bersih. Dia masih menyambung ceritanya.

“Dia pun melintas depan trak tu bila nak pergi mengajar. Dia cuba jugak mengintai-intai, kut la nampak askar Melayu yang gagah-gagah. Orang zaman dulu, kalau masuk askar, kira mulia kerjanya.”

“dalam perjalanan balik dari kelas pondok, cikgu ni terserempak dengan seorang lelaki segak dengan pakain seragam askar Melayu. Tegap orangnya. Kulit hitam manis.” Nek Ngah tersenyum-senyum.

“Askar tu pun menegur ramah cikgu tu. ‘cikgu, baru balik mengajar?’. Cikgu tu menjawab malu-malu. Ya, katanya. Cikgu tu jadi jatuh suka pada askar Melayu tu. Ramah, baik, sopan. Dia menemankan cikgu tu berjalan sampai kedepan rumah. Macam-macam yang mereka bualkan. Tiba-tiba cikgu tu menawar, ‘mahu belajar membaca?’. Askar Melayu tu langsung tunduk. Katanya, ‘aku cuma drebar trak sahaja. Buat apalah nak belajar membaca.’.”

Indah terasa nak tergelak. Alahai~ tolak tuah betul la askar tu.

“cikgu tu cuba menerangkan, apa la salahnya dia tau membaca, menulis. Bukan rugi. Tapi askar itu menolak dengan baik. Lagipun katanya dia singgah disitu sehari saja. Esok mahu bertolak balik.”

“nak dijadikan cerita, kakak cikgu itu nampak. Dia dah tau cikgu tu suka. Dia mula la mengusik sakan cikgu tu dekat rumah. Kelakar, sebab kakaknya tu kalau mengusik habis kecoh dengan kawan-kawan satu kampung.”

Indah tergelak-gelak dimeja itu. Dapat bayang la, kalau dia yang mengusik adik dia, mesti kecoh macam tu jugak.

“bila malam, cikgu ni jadi teringat-ingat. Alah, dia bukan biasa bercakap dengan lelaki. Pemuda dekat kampung tu pun alahai, berapa kerat la sangat.”

“esoknya, kakak cikgu tu berlari-lari balik kerumah cari adiknya. Dengan tercungap-cungap tu dia berkata, ‘kau tau, tadi aku terserempak dengan askar kau tu dekat tengah jalan. Dia dah nak balik katanya. Aku ada usik dia dengan sebut-sebut nama kau. Kau tau dia kata apa? Katanya, ‘cikgu tu orang pandai-pandai. Cantik lagi. Aku ni apa la yang ada. Cuma sepasang seragam askar saja. Entah-entah, cikgu tu takmau berkawan pun dengan aku’.”

“kakaknya menggiat, suruh dia pergi bercakap dengan askar tu sebelum dia pergi. ‘kau pergilah cakap sebarang dua patah dengan dia, nanti dia ingat kau betul-betul tak suka berkawan.’ Tapi, cikgu tu taknak. Tak berani. Malu dia kata.”

Indah tarik sengih. “haaa.. lepastu Indah tau. Mesti diorang jumpa balik kan? kahwin jugak kan? Lepastu tu hidup aman bahagia? Kan? Betul tak Nek Ngah?”

“tak.” Nek Ngah menggeleng kecil.

Huh? “habistu? Apa jadi dengan cikgu tu?”

“dia tengah hidup bahagia dengan anak-anak dan cucu-cucu arwah kakak dia.”

Indah tersenyap. Jangan kata…

“cikgu tu tak apa-apa.” Nek Ngah menyambung ceritanya. “mula-mula memang dia tunggu juga. Asal ada trak askar je, dia rasa nak berkejar tengok. Tapi hampa, drebar trak tu dah bertukar. Tapi akhirnya dia dapat terima. Itu takdir Tuhan. Allah nak dia jaga anak-anak dan cucu-cucu arwah kakaknya dan arwah abang iparnya yang mati mengejut. Akhirnya, dia bahagia jugak, kan?” Nek Ngah senyum pada Indah.

Indah masih tersenyap. Nek Ngah..

“aih. Nek Ngah yang kupas bawang, mata Indah yang berair ni pasal apa?”

Indah tersendar. Cepat-cepat dia mengangkat lengan baju ke muka. “angin kut. Pedih bawang tu sampai dalam mata Indah.”

Nek Ngah tersenyum lagi. Indah..Indah.

“Indah goreng kentang ni dulu la eh Nek Ngah?”

“Indah..” kata Nek Ngah menahan Indah dari terus melangkah. “Indah nak jadi macam cikgu tu ke? cikgu yang tak berani nak bercakap tu? cikgu yang tak berusaha nak bagitau perasaan sendiri?”

Indah terkaku.

“baliklah KL, Indah. Pergi jumpa Reza.”





*sikit saja. aku rasa, aku dah tak post kamu indah kat sini lagi kot, sebab tengah nak mengedit+menyambung. tengok la nanti macam mana eh. thx
 
Blog Template by Delicious Design Studio